Giring Ubah Imej Bukan Kerna Isteri

on Monday, March 19, 2012

Giring Ubah Imej Bukan Kerna Isteri 

Giring Ubah Imej Bukan Kerna Isteri | “Kamu suka dengan imej baru saya?” itu pertanyaan Giring apabila diajukan  soalan tentang penampilan barunya yang kemas, berambut pendek dan ala-ala artis K-Pop.  Apabila GUA menjawab suka, Giring terus tersenyum lantas berkongsi cerita. Jelas vokalis kumpulan Nidji ini, dia berubah imej bukan kerana sesiapa sebaliknya atas kehendaknya sendiri.

“Aku ubah imej sempena ulangtahun Nidji yang ke 10 tahun. Bukan permintaan label atau ahli kumpulan Nidji yang lain. Jauh sekali disuruh oleh isteri. Sudah sampai masanya untuk aku tampil dengan imej yang lebih bersih dan kemas.  Tetapi apabila diingat-ingatkan, agak lucu juga sebab ketika  aku mula-mula muncul dengan gaya rambut Alfro, ramai yang tidak boleh terima. Apabila aku ke kafe atau ke mana-mana sahaja, ramai yang melihat dengan pandangan jelik. Tapi, lama-kelamaan, mereka boleh terima rambut itu sebagai trademark dan kini mula bertanya mengapa aku tidak kekal berpenampilan begitu,” ujar Giring membuka cerita.

Dalam masa yang sama, Giring juga mengakui dia mengambil masa yang agak lama untuk memotong rambutnya itu, namun nekad melakukannya sempena pelancaran album terbaru Nidji berjudul ‘Liberty’.
Berkongsi pengalamannya selama 10 tahun bersama Nidji, Giring mengakui terlalu banyak saat-saat indah yang dikongsi bersama rakan-rakannya. Namun, dia juga tidak segan mengakui ada beberapa perkara yang tidak disukai.

“Selain mendapat adik-beradik baru, aku juga dapat merealisasikan impianku  selama ini. Itu dua perkara paling bagus berlaku selama 10 tahun bersama Nidji. Perkara yang paling aku tidak suka ialah kehilangan privasi dan selalu berjauhan daripada keluarga. Banyak perkara yang aku ketinggalan apabila berjauhan daripada anak-anak, lebih-lebih lagi ketika ini mereka dalam proses membesar,” luah Giring berterus-terang.

Mengulas tentang alam perkahwinannya ketika ini,  Giring mengakui yang dia kini sangat bahagia dan gembira di samping isteri, Chyntia Riza, dan dua anak tersayang, Zinedane  Zidane, 5, dan Aisha Amir, 1.

“Kedua orang tua aku sudah boleh menerima kehadiran Chyntia. Kini mereka tahu Chyntia mempunyai hati yang baik. Mereka sudah faham mengapa aku ingin mengahwini Chyntia. Bukan kerana dia mempunyai rupa paras yang cantik, tetapi kerana dia mempunyai hati yang cantik,” ulas Giring lagi.

Giring dan Chyntia telah melangsungkan pernikahan pada tahun 2010. Bagaimanapun, tarikh sebenar pernikahannya tidak diketahui kerana pasangan ini merahsikan daripada pihak media. Namun, Giring mengakui dia telah bernikah sebelum Ramadan 2010. Majlis resepsi telah diadakan di kediamannya,  Sahid Sudirman, Jakarta Selatan pada 15 Oktober 2010.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment